Tuesday, June 8, 2010

saya mahu berbicara

Bismillahirrahmanirrahim

kosong.

saya rajin-rajinkan jari hari ini menekan pautan ke post yang lama-lama dahulu.saya keluh perlahan. sudah lama saya tidak berbicara dengan encik blogspot dalam bahasa melayu. lama. entahlah. persekitaran mungkin mengganggu kebiasaan saya. mungkin. lagi pula, sistem akademik yang saya sedang lalui sebagai pelajar undang-undang buat saya jadi pengguna tegar bahasa mat salleh. bila rasa diri tidak begitu mahir dalam bahasa yang diguna oleh JWW Birch itu, maka apa sahaja di sekeliling perlu berbahasa itu. kata-kata hikmah yang saya tampal di dinding, buku catatan harian, surat khabar, rancangan tv dan apa jua sekalipun, perlu berbahasa itu. saya jadi rindu. rindu pada bahasa yang pertama umi dan ayah ajar. maka, saya kira, saya perlu adil dengan diri. belajar itu perlu. tapi saya tak mahu lupa adat.

lagi pula, pada pemerhatian saya, saya suka pada bahasa. apa jua. saya berminat dengan bahasa. maksud saya, bahasa yang ditutur oleh bangsa atau daerah berlainan. tapi belajar? tidaklah begitu rajin. saya kagum dengan pertuturan yang berlainan. ah, pokoknya, memang Allah ciptakan otak saya lebih kearah itu. maka, bila tonton cerita cina, atau jepun atau korea, venuzuela hatta tamil, hati saya berkata-kata! saya akan mengikut apa yang disebut oleh sang pelakon dalam hati. bunyinya mungkin lain sedikit. maklumlah, lidah ini sudah terbiasa dengan sambal belacan, budu, dan kuah masak lemak. cuma kadang-kadang, saya sebut juga kuat-kuat tapi itu cuma di rumah ye.

apapun, berbahasa itukan pilihan. kadang-kadang keselesaan berbahasa buat seseorang memilih untuk bertutur dan beramalan dengan bahasa pilihan. lihat saja, ramai kan orang melayu berbahasa bangsa wayne rooney? saya kira, sebab mereka atau kita (kalau berkenaan) selesa dan terbiasa dengan bahasa inggeris. itu pada pendapat saya, bukan masalah. asal saja, tahu digunakan pada tempatnya. maklumlah, takkan pula kamu mahu ber-speaking kalau perlu bercakap dengan pakcik makcik tua yang susah benar menyebut "i can't hear you" atau "i'm understand what you're talking about". tapi, kalau memang diperlukan untuk berbahasa inggeris, maka, ikutlah arus. seperti tadi, biar berpadanan. bercakap bukan untuk menunjuk-nunjuk. tapi bercakap kerana keadaan yang memerlukan.dengan hormat dan beretika maksud saya. jangan jadi jumud. kitakan, mahu jadi orang Islam yang hebat? maka, sama-samalah berusaha ya!

oh, dan juga ini, saya mahu sekali belajar bahasa isyarat. ala, yang untuk orang bisu dan pekak itulah. manalah tahu, kalau-kalau nanti sangat diperlukan oleh saya untuk pakar dalam memberi tanda isyarat-isyarat ini.

untuk keberapa kali entah, saya mahu kata, yang berbahasalah mengikut keselesaan. dan kamu perlu tahu, berbahasa kesat itu bukan keselesaan. selesa itu cuma kerana kamu berjaya menghina orang dengan kekesatan bahasa, dan, itu langsung tidak mulia. didiklah mulut berbaik-baik dalam bertutur. hati kamu mendengar kata-kata kamu. telinga kamu mendengar kata-kata baik dari mulutmu. insyaAllah, segenap jasad terarah kepada kebaikan.

hanya Allah jua yang tahu kata-kata dalam hati kamu, saat kamu berbicara dalam diam...


langittasbih.

No comments: